Monday 23 October 2017

MELAHIRKAN MODAL INSAN MELALUI PENDIDIKAN

Pendidikan adalah satu jalan terbaik dalam membentuk modal insan yang cemerlang, mempunyai jati diri yang terbilang, berpesonaliti, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan mempunyai kemahiran dalam mengisi keperluan Negara. Pembangunan insan yang baik adalah kunci dalam melahirkan modal insan kelas pertama. Menurut Ismahali (2008), pembangunan insan adalah satu proses yang bertujuan untuk melahirkan jiwa yang bertaqwa kerana tanpa jiwa yang bertaqwa, fungsi akal dan fizikal akan lumpuh. Institusi pendidikan diberi mandat yang besar dalam melahirkan generasi muda Malaysia yang berpotensi, mempunyai pelbagai kemahiran serta dapat membentuk ciri-ciri keperibadian dan perspektif hidup yang membolehkan mereka berjaya dalam kehidupan dan mampu memajukan lagi Negara di mata dunia, selari dengan hasrat dan Falsafah Pendidikan Negara (Hasani, 2006). Pendidikan pada masa kini berkembang dengan pesat dan fungsi pendidikan dalam melahirkan generasi gemilang menjadi semakin mencabar namun guru perlu bersikap profesional dan perlu sentiasa bersedia menggalas tanggungjawab membangunkan insan seiring dengan keperluan semasa.
Antara aspek yang perlu diterapkan di dalam bilik darjah dalam membangunkan insan cemerlang adalah dengan memastikan elemen kerohanian, sikap dan nilai sentiasa diintegrasikan dalam subjek yang diajar. Semua guru perlu bijak mengolah topik pembelajaran dan mengaitkannya dengan unsur-unsur kerohanian dalam membentuk sikap yang baik dalam diri pelajar berasaskan nilai yang mulia. Tanpa mengira subjek dan batas agama, perkara ini sangat penting dalam memberi nilai terhadap semua ilmu yang disampaikan di dalam kelas supaya pelajar dapat memahami bahawa setiap ilmu mengajar mereka sikap dan nilai yang terpuji dalam menjadi manusia yang berjaya di dunia dan akhirat. Sebagai contoh, dalam mempelajari pendidikan Sejarah, guru boleh menekankan pelbagai nilai dan sikap mulia dalam diri pelajar dalam melahirkan satu generasi yang terbilang. Pengolahan guru terhadap sejarah terdahulu dan fenomena pada masa kini dapat membuka mata pelajar tentang kehidupan dan kepentingan menghargai sesuatu perkara misalnya tragedi rusuhan perkauman 13 Mei 1969 yang membawa kesan buruk kepada masyarakat dan negara. Pemahaman pelajar tentang peristiwa-peristiwa penting tersebut dapat membentuk sikap tolerasi dan perpaduan antara kaum dan menguatkan semangat kenegaraan dalam diri pelajar.
Kepercayaan terhadap Tuhan adalah perkara pertama dalam Rukun Negara Malaysia. Perkara ini menunjukkan bahawa setiap warganegara perlu mempunyai kepercayaan terhadap Tuhan berdasarkan agama masing-masing. Oleh itu, aspek penting dalam pembangunan insan adalah membentuk generasi yang holistik berasakan kepercayaan kepada Tuhan. Menjadi tanggungjawab pendidik membimbing anak murid dalam menguatkan kepercayaan terhadap Tuhan melalui ilmu yang diajar di dalam kelas. Hal ini bagi memastikan pelajar dapat memahami kekuasaan Tuhan dan pengaruhnya dalam kehidupan. Setiap agama di dunia mengajar umatnya kebaikan dan membentuk nilai serta keperibadian terpuji. Oleh itu, seseorang guru tidak perlu berasa tertekan dalam mengetengahkan elemen ketuhanan dalam subjek yang diajar. Sebagai contoh, guru boleh meminta pelajar mengutarakan pendapat berdasarkan fahaman agama masing-masing berkaitan topik pembelajaran. Pembelajaran tentang isu sains misalnya pengklonan, guru boleh meminta pelajar membuat pembacaan dan kajian tentang pendapat agama mereka berkaitan isu pengklonan yang hebat dibincangkan pada masa kini. Dengan cara ini, pelajar akan lebih memahami dan mendalami ajaran agama masing-masing seterusnya menguatkankan kepercayaan mereka kepada Tuhan.
Selain itu, modal insan kelas pertama digambarkan sebagai insan yang mempunyai pengetahuan yang tinggi dan berakhlak. Pengetahuan yang sempurna adalah pengetahuan yang digunakan dengan akhlak yang tinggi. Pembangunan insan menggariskan pendidik melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai ilmu yang disepadukan dengan akhlak yang mulia. Dalam abad ke-21 pelbagai perkara terjadi akibat daripada penggunaan ilmu tanpa akhlak yang mengakibatkan kerosakan terhadap individu, masyarakat, agama dan negara. Dalam proses pembelajaran abad ke-21, guru perlu sentiasa memberi ruang kepada pelajar unuk mengetengahkan pandangan dan pendapat mereka terhadap sesuatu perkara kerana sumber ilmu adalah di hujung jari. Guru perlu membimbing pelajar dengan membetulkan perkara yang salah dan menekankan aspek akhlak yang mulia supaya pelajar tidak terus menghadam ilmu yang mereka perolehi di alam maya. Sebagai contoh, dalam subjek Bahasa Melayu, guru boleh membuat satu forum atau perdebatan tentang isu integriti yang menjadi satu isu besar melanda negara pasa masa kini. Dengan memahami maksud integriti itu sendiri akan memberi kesan yang besar terhadap perkembangan ilmu sekaligus para pelajar dapat membina akhlak yang mulia berdasarkan pemahaman mereka tentang isu tersebut. Menitik beratkan pelbagai aspek, akhlak yang mulia digabungkan dengan ilmu yang tinggi akan melahirkan generasi peneraju negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Pembangunan insan melalui institusi pendidikan juga adalah bertujuan untuk melahirkan insan yang memahami dan bersikap toleransi, demi mewujudkan perpaduan. Perpaduan yang mantap akan membentuk sebuah negara yang makmur dan harmoni. Malaysia merupakan negara yang menpunyai masyarakan berbilang bangsa dan agama. Kesepaduan antara masyarakat majmuk adalah tunjang kepada kemakmuran dan pembangunan negara. Di dalam bilik darjah, semua pelajar datang daripada latar belakang yang berbeza dari pelbagai aspek termasuk bangsa, agama, budaya dan status sosial. Oleh itu, guru boleh mengambil peluang membentuk insan yang bersatu padu dengan mengadakan perbincangan di dalam kumpulan dalam proses pembelajaran. Gabungan pelajar daripada latar belakang yang berbeza akan membentuk satu gerakan yang bersatu padu dan saling memahami antara satu sama lain. Para pelajar akan membentuk sikap toleransi tanpa mengira latar belakang mereka dalam menghasilkan satu perkara yang menarik untuk pembelajaran mereka. Selain dapat mengembangkan ilmu pegetahuan pelajar, perpaduan dapat dibentuk dengan mudah dan berkesan. Melentur buluh biar dari rebung. perpaduan yang terbentuk di dalam kelas akan memberi kesan kepada kesepaduan rakyat dalam negara pada masa hadapan yang kian mencabar.
Akhir sekali, menghasilkan insan yang progresif, mahir serta cekap supaya membolehkannya berupaya melaksanakan tugas secara produktif serta sempurna, demi memberikan sumbangan terhadap negara adalah salah satu aspek yang perlu ditekankan dalam pembangunan insan di sekolah. Guru perlu bijak dalam melatih pelajar agar menjadi lebih aktif dalam melontarkan pendapat dan pandangan dalam sesuatu isu seterusnya melatih mereka menjadi seorang yang bukan sahaja boleh berkata-kata tetapi boleh melaksanakan. Modal insan yang cemerlang adalah insan yang mampu menjana idea dan melaksanakan idea tersebut dengan berkesan seterusnya memberi sumbangan kepada pembangunan diri, masyarakat, agama dan negara. Sebagai contoh, guru di dalam kelas perlu sentiasa mewujudkan satu sesi pembelajaran yang aktif berpusatkan pelajar. Pelajar pada masa kini merupakan pelajar yang maju dan moden. Mereka boleh mendapat pelbagai ilmu daripada pelbagai sumber di laman internet, buku dan majalah. Oleh itu, guru sebagai pembimbing perlu sentiasa memastikan pelajar aktif dalam berkongsi ilmu yang mereka perolehi di dalam kelas. Apabila pelajar berkongsi ilmu yang mereka dapat, guru boleh menapis ilmu tersebut dan menerangkan kepada pelajar di dalam kelas secara menyeluruh dan berkesan sesuai dengan tahap pendidikan mereka. Melalui kaedah perkongsian maklumat di dalam bilik darjah, pengetahuan pelajar akan bercambah di samping melatih mereka cara berkomunikasi dan memberi pandangan terhadap sesuatu isu sekaligus membentuk insan yang progresif, mahir serta cekap supaya membolehkan mereka berupaya melaksanakan tugas secara produktif serta sempurna, demi memberikan sumbangan terhadap negara pada masa hadapan.

Penulisan ini adalah berdasarkan pandangan dan sedikit info yang saya perolehi daripada pembacaan. Semoga dapat memberi pengajaran kepada semua yang membaca. Sekian.

Friday 7 July 2017

Kahsiat Bawang Putih Yang Korang Pasti Tak Tahu


Hai semua.. first aku nak ucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. kalau ade aku terbuat salah, maafkan ye.. kosong-kosong okk!!
Back to tajuk. korang mesti tak pernah nak terfikir kan ape kebaikan bawang putih untuk kesihatan kita. Mungkin ada antara kita yang memang tak suka la bawang putih ni TAPI lepas korang baca entri kali ni mesti korang kunyah je bawang putih tu mentah-mentah. hahaha (gurau).

Kalau korang nak tahu, bawang putih dipercayai berasal dari Asia Tengah dan ia sesuai ditanam di kawasan tanah tinggi yang beriklim sejuk dan tidak terlalu lembap. Pada hari ini negara pengeluar utama bawang putih di dunia ialah negara China.

Uniknya bawang putih ini adalah disebabkan oleh kewujudan satu komponen istimewa di dalamnya yang dikenali sebagai allicin.
Allicin: bahan aktif dalam bawang putih

Allicin adalah suatu komponen bersifat sulfur yang terhasil apabila bahagian dalam bawang putih terdedah setelah dipotong, dicincang, dilumatkan atau dikunyah. Bahan inilah yang memberikan bau masam menyengat yang agak kuat pada bawang putih.

Memang ramai yang tidak gemar dengan aroma tengik yang dihasilkan oleh allicin ini, namun allicin inilah bahan ajaib yang bertanggungjawab mewujudkan ciri-ciri anti-bakteria, anti virus, anti radang dan anti oksida yang menjadikan bawang putih suatu remedi semulajadi yang sungguh hebat.
Satu tip penting tentang cara untuk memanfaatkan sepenuhnya kemujaraban allicin – selepas mengetuk, menghiris atau melumatkan bawang putih, jangan terus digunakan sebaliknya biarkan rehat selama lebih kurang 10 minit terlebih dahulu. Dengan cara ini, penghasilan allicin dalam bawang putih dapat dimaksimakan untuk memberi kesan terbaik kepada kesihatan kita.
Selain dari allicin, bawang putih turut mengandungi komposisi nutrisi yang tinggi termasuk kalsium, pottasium, fosforus, selenium, manganese, zat besi serta 17 jenis asid amino. Kandungan kalorinya pula adalah sangat rendah. Hasil penyelidikan sains moden telah menemui banyak kegunaan bawang putih dari segi kesihatan, namun sebenarnya kebanyakan daripada khasiat bawang putih telahpun diketahui dan dimanfaatkan oleh masyarakat terdahulu sejak berkurun lamanya.
Ni aku nak share beberapa khasiat bawang putih.. 
1. Mencegah dari keracunan makanan

Bawang putih mengandungi ciri-ciri antibakteria, antimikrob dan juga antivirus. Sebagai agen antibakteria yang kuat, ia mampu untuk membunuh bakteria yang merbahaya kepada badan manusia seperti salmonella, staphyloccocus dan e coli. Oleh itu, pengambilan bawang putih dapat mencegah daripada terjadinya keracunan makanan.

Sebab tu la kalau mak-mak korang masak sayur or menu-menu yang lain suka letak bawang putih tu. Untuk membantu sistem pencernaan kita yang nipis ni. Bijak orang dulu-dulu. 
2. Mengubati jerawat

Sifat anti oksida dan antibakteria yang terdapat pada bawang putih dapat membantu menyelesaikan masalah kulit muka yang berjerawat. Ciri antibakteria yang ada pada bawang putih mampu mengecutkan dan menghilangkan jerawat secara perlahan-lahan. Ia juga dapat bertindak untuk mengurangkan parut jerawat.

Yang ni aku pernah cuba. Boleh la tapi pedih masa kita sapu kat jerawat. Kalau ada di antara anda yang tidak puas hati dengan keberkesanan produk yang telah dibeli di pasaran, cubalah manfaatkan kelebihan yang ada pada bawang putih ini. Tumbuk dua atau tiga ulas bawang putih dan sapukan pada bahagian kulit muka yang bermasalah. Kemudian bilas dengan air suam. Orang putih cakap, "No pain, no gain". Kehadiran komponen allicin yang berasaskan sulfur boleh meredakan keradangan jerawat malah bintik-bintik hitam dan pori-pori juga dapat dikurangkan. 
3. Menambahkan tenaga fizikal dan stamina

Korang cepat merasa letih? Selain daripada memakan supplemen yang dibeli dari farmasi, anda boleh juga mengamalkan pengambilan bawang putih secara konsisten kerana ia dipercayai mampu menambahkan tenaga fizikal, daya kekuatan dan stamina seseorang. Tak payah la gigih nak makan ubat kuat yang tah apa-apa kat pasaran tu. Kunyah je bawang putih ni, pasti KUAT!!!

4. Mengurangkan angin dalam badan

Sesetengah orang memang kerap mengalami masalah kemasukan angin dalam badan yang boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kembung perut. Petua untuk melegakan masalah angin juga melibatkan penggunaan bawang putih.

Ambil dan bakar dua ulas bawang putih di atas dapur bersama dengan kulitnya sekali untuk beberapa minit. Setelah nampak garing, buang kulit dan makanlah bawang putih tersebut. Tak sampai setengah jam hasilnya akan dapat dirasai. Anda akan merasa lega dan tidak kembung perut lagi. Terkentut-kentut korang lepas kunyah bawang putih ni. Rasa dia memang agak pedas berangin tapi kesan tip top. 
5. Meningkatkan kemampuan seksual.
Yang paling korang suka. Haaaa, bawang putih ni boleh berfungsi sebagai suatu afrodisiak, bawang putih berupaya untuk meningkatkan tahap libido dan daya tahan seksual kaum lelaki.

Mereka yang mengalami masalah ereksi (erectile dysfunction) digalakkan untuk mengambil bawang putih secara konsisten dan teratur kerana bawang putih dapat merangsang pengeluaran enzim dan pengedaran darah ke alat kelamin.

Berbanding dengan ubat-ubatan yang mengandungi bahan kimia, khasiat semulajadi bawang putih dalam memperbaiki hubungan seksual sangat wajar dimanfaatkan kerana ianya selamat tanpa perlu kita risau tentang kewujudan kesan sampingan yang negatif. "Pancut awal?? bawang putih kan adaaaa" hahaha
Konklusinya, 
Seperti juga herba semulajadi yang lain, cara pengambilan bawang putih yang terbaik adalah dengan memakannya secara mentah. Korang mungkin  berasa payah untuk menelan bawang putih yang belum dimasak disebabkan oleh baunya yang kurang menyenangkan. Sebenarnya senang saja untuk menghilangkan bau bawang putih, caranya adalah dengan meminum air lemon ataupun mengunyah daun pudina.
Namun adalah penting untuk memastikan pengambilan bawang putih tidak berlebihan. Pengambilan dua ke empat ulas setiap hari sudah memadai. Jangan overdose pula kerana dibimbangi pengambilan yang berlebihan boleh mendatangkan kemudaratan. Jadi bersederhanalah dalam memanfaatkan khasiat bawang putih, pasti anda akan dapat menikmati kesannya yang optimum.

SELAMAT MENCUBA.. 

Sunday 18 June 2017

Kelemumur yang jahat

Aku nak menulis tentang rambut. Bukan perempuan sahaja yang perlu menjaga rambut, lelaki pun xboleh sambil lewa sahaja tentang hal ini. Aku nak beritahu ni, kalau rambut buruk, busuk, penuh dentdraft dan serabai, perempuan sebatu tengok kau, terus lari bro. Nak dijadikan kisah, aku ada seorang adik perempuan yang syndrome down which is adik yang paling aku sayang. Nama dia Nur Shahadah, dan aku panggil dia Adah. Berumur 15 tahun dan seperti OKU biasa, dia tak pandai nak jaga penampilan diri dia kecuali kita yang normal ni membantu. 

Ni Adah (penunggu KFC)


Adik aku ni ada satu masalah main pakai je semua shampoo yang ade dalam bilik air tu sampai tahap kulit kepala dia cepat kering dan berkelemumur teruk. Rambut Adah ni panjang tau, dan mak aku da try banyak shampoo untuk hilangkan kekemumur tu tapi tak berjaya mungkin sebab sebelum ni adik aku suka campur-campur shampoo kalau mandi. Salah kami jugak biarkan dia main shampoo tu.

Lagi satu tabiat si Adah ni, dia suka garu kepala die sebab gatal kelemumur tadi tu. Memang luka la kulit kepala dia tu. Mulanya mak aku nak potong rambut dia untuk letak ubat, dia ni tak nak. KEKWAT OK BUDAK NI. hahahaha. Sebab da belanja KFC, aku pujuk dia untuk botakkan kepala dia untuk rawat luka-luka dan kelemumur dia tu. Boleh buat tajuk cerita "Kerana KFC Aku Relakan".

Jadi, aku pun menggunakan kepakaran menggunting rambut, botakkan kepada si Adah ni. korang nak tengok sejauh mana luka di kepala dia? 

haaa.. kesian kan..
Yang gambar ni dah ok sikit. Masa mula-mula botakkan tu aku terlupa nak ambil gambar sebab masa tu fikir nak bagi kepala dia cepat sembuh je. Aku nak share macam mana nak tangani masalah kelemumur yang teruk macam ni:

1) Korang kene buang rambut panjang tu dulu sebab rambut panjang ni akan menyebabkan ketidakselesaan seperti gatal dan proses rawatan akan jadi sukar.

2) Basuh kepala dengan air suam untuk kembangkan sel-sel yang telah mati dan gosok perlahan-lahan sekitar kepala tersebut. Korang akan nampak banyak kulit-kulit mati tertanggal. 

3) Bilas dengan air perahan limau purut dan sapu perlahan-lahan kerana proses ini akan menyebabkan korang rasa sedikit pedih ya.. Tapi jgn berhenti tiba-tiba pula, ingat niat kita untuk sihat. Guna sedikit shampoo anti-dentdraft untuk cuci kelemumur nipis. 

4) Basuh kepala lagi sekali dengan air suam dan gosok perlahan-lahan sekitar kepala. 

5) Basuh dengan air biasa atau air sejuk untuk sejukkan kepala tadi.

6) Keringkan kepala dengan baik dan pastikan kepala betul-betul kering. (Guna pengering rambut)

7) Sapu ubat luka di bahagian-bahagian yang luka. 

8) Peringatan penting: Jangan cover kepala dengan alas atau tudung selagi kepala tak sihat sebab peluh akan memudahkan bakteria membiak. 

Lakukan semua steps di atas sehingga kulit kepala anda sihat seperti asal. Tips diatas juga boleh digunakan untuk sesiapa yang nak kekalkan rambut yang cantik, kuat dan sihat seperti rambut aku ni. Tapi sebab aku malas, aku buat seminggu sekali je. hehehe.. 

Semoga bermanfaat. Kalau ade persoalan boleh tinggalkan di ruangan komen. Insyaallah aku jawab. Doakan Adah cepat sembuh ok. Terima kasih sebab hinggap di blog aku ni. 

Aku dan Adah
Abang yang penyayang

Siapa Aku??

Haaa.. Tergerak pulak dalam hati aku nak menulis di dalam ruangan blog ni. Dulu aku pernah ada blog juga, tetapi disebabkan aku kurang masa dan waktu pada ketika itu, blog tu tah ke mana hilangnya. hahaha..

Siapa aku?

Mak dan ayah aku bagi aku nama yang paling unik sekali. AHMAD SARJI. Semua tempat yang aku pergi, jarang la aku jumpa nama sama macam ni. Kalau nama korang Firdaus, Farhan, Aiman, dan etc mesti banyak yang sama. Disebabkan perkara itu, aku rasa sangat UNIK. :)

Kawan-kawan panggil aku dengan nama panggilan yang macam-macam. Ag, Ahmad, Sarji, Jijie, Gie dan bayak lagi la. Tu belum masuk nama yang depa dok menganjing aku. Tapi, dalam banyak-banyak nama, yang paling unik adalah Haikal Ryan. Nama ni aku dapat masa aku kerja sebagai model sambilan dulu-dulu masa muka tengah jambu. Jadi, aku suka dengan nama tu so, aku masukkan sekali dalam nama yang mak ayah aku bagi. Maka wujudlah AHMAD HAIKAL SARJI RYAN.

Aku kerja ape?

Kalau korang nak tau, aku ni buat macam-macam kerja. Maklum la, bukan dari keluarga senang. Aku pulak anak sulung daripada 7 beradik, maka, bertambahlah tanggungjawab aku. Aku mmg suka kerja. Banyak la kerja aku da pernah buat dan aku gunakan semua yang ada pada diri aku ni sebaik mungkin untuk dapatkan sumber kewangan. Receptionist, kerja kilang, kerja angkat meja dekat hotel tu, kerja jual simkad depan bank, jual buah-buahan dan aiskrim tepi jalan, model sambilan, jual baju, mengajar, pelatih pusat tusyen, pegawai hr, akauntan, dan banyak lagi. Versatile aku ni. hahaha.. 

Mesti orang tertanya-tanya apa kelulusan aku kan smpai aku boleh kerja dalam banyak bidang. haaaaa... Alhamdulillah aku diberikan otak yang pickup oleh Allah. Aku masa kat universiti dulu, pulun la semua subjek yang ade. Kursus-kursus free yang universiti anjurkan semua aku sertai. Hasilnya, banyak benda aku boleh buat. 

Sekarang, aku merupakan pengasas sebuah jenama pakaian eksklusif iaitu JEJANZ WEAR EXCLUSIVE. 

Tak pernah dengar pun Jejanz Wear Exclusive ni?

Haaaa.. memang la korang tak pernah dengar, sebab nama pon EXCLUSIVE. Pakaian jenama Jejanz ni adalah rangkaian jenama private di mana, kami hanya design baju khas untuk individu tertentu sahaja. Paling banyak keluaran untuk satu design hanya 100 helai sahaja. Tak sempat nak viral, stock dah habis. Terima kasih kepada designer aku dengan rekaan yang meletup. 

Selain berniaga, aku juga merupakan tenaga pengajar di salah sebuah IPT dalam negara. Kalau korang nak belajar tentang alam sekitar, statistik, bahan, kekuatan struktur, boleh la masuk kelas aku. Tapi kene fokus sebab aku garang. 


Dah kahwin? 

Soalan ni sangat menusuk kalbu. Abang belum kahwin lagi dik. Itu sahaja, malas nak panjang cerita tentang hal ini.

Duduk di mana?

Sekarang aku menetap di sebuah rumah yang bagi aku selesa sangat di Bandar Baru Rinching, Semenyih. Kawasan taman yang harmoni dengan jiran-jiran daripada pelbagai latar belakang, kaum dan agama. 


Ini la aku..

                                    


Coretan Jejanz

Semua tulisan yang bakal diterbitkan dalam blog ini adalah merupakan pengalaman yang aku lalui sepanjang kehidupan aku. Kisah tentang aku, dia, kamu dan semua masyarakat yang aku temui secara sengaja dan tidak sengaja. Perkara yang boleh memberi pengajaran dalam hidup kita sebagai sebagai hamba Allah di dunia yang indah ini.

                                   

MELAHIRKAN MODAL INSAN MELALUI PENDIDIKAN

Pendidikan adalah satu jalan terbaik dalam membentuk modal insan yang cemerlang, mempunyai jati diri yang terbilang, berpesonaliti, berkep...