Monday 23 October 2017

MELAHIRKAN MODAL INSAN MELALUI PENDIDIKAN

Pendidikan adalah satu jalan terbaik dalam membentuk modal insan yang cemerlang, mempunyai jati diri yang terbilang, berpesonaliti, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan mempunyai kemahiran dalam mengisi keperluan Negara. Pembangunan insan yang baik adalah kunci dalam melahirkan modal insan kelas pertama. Menurut Ismahali (2008), pembangunan insan adalah satu proses yang bertujuan untuk melahirkan jiwa yang bertaqwa kerana tanpa jiwa yang bertaqwa, fungsi akal dan fizikal akan lumpuh. Institusi pendidikan diberi mandat yang besar dalam melahirkan generasi muda Malaysia yang berpotensi, mempunyai pelbagai kemahiran serta dapat membentuk ciri-ciri keperibadian dan perspektif hidup yang membolehkan mereka berjaya dalam kehidupan dan mampu memajukan lagi Negara di mata dunia, selari dengan hasrat dan Falsafah Pendidikan Negara (Hasani, 2006). Pendidikan pada masa kini berkembang dengan pesat dan fungsi pendidikan dalam melahirkan generasi gemilang menjadi semakin mencabar namun guru perlu bersikap profesional dan perlu sentiasa bersedia menggalas tanggungjawab membangunkan insan seiring dengan keperluan semasa.
Antara aspek yang perlu diterapkan di dalam bilik darjah dalam membangunkan insan cemerlang adalah dengan memastikan elemen kerohanian, sikap dan nilai sentiasa diintegrasikan dalam subjek yang diajar. Semua guru perlu bijak mengolah topik pembelajaran dan mengaitkannya dengan unsur-unsur kerohanian dalam membentuk sikap yang baik dalam diri pelajar berasaskan nilai yang mulia. Tanpa mengira subjek dan batas agama, perkara ini sangat penting dalam memberi nilai terhadap semua ilmu yang disampaikan di dalam kelas supaya pelajar dapat memahami bahawa setiap ilmu mengajar mereka sikap dan nilai yang terpuji dalam menjadi manusia yang berjaya di dunia dan akhirat. Sebagai contoh, dalam mempelajari pendidikan Sejarah, guru boleh menekankan pelbagai nilai dan sikap mulia dalam diri pelajar dalam melahirkan satu generasi yang terbilang. Pengolahan guru terhadap sejarah terdahulu dan fenomena pada masa kini dapat membuka mata pelajar tentang kehidupan dan kepentingan menghargai sesuatu perkara misalnya tragedi rusuhan perkauman 13 Mei 1969 yang membawa kesan buruk kepada masyarakat dan negara. Pemahaman pelajar tentang peristiwa-peristiwa penting tersebut dapat membentuk sikap tolerasi dan perpaduan antara kaum dan menguatkan semangat kenegaraan dalam diri pelajar.
Kepercayaan terhadap Tuhan adalah perkara pertama dalam Rukun Negara Malaysia. Perkara ini menunjukkan bahawa setiap warganegara perlu mempunyai kepercayaan terhadap Tuhan berdasarkan agama masing-masing. Oleh itu, aspek penting dalam pembangunan insan adalah membentuk generasi yang holistik berasakan kepercayaan kepada Tuhan. Menjadi tanggungjawab pendidik membimbing anak murid dalam menguatkan kepercayaan terhadap Tuhan melalui ilmu yang diajar di dalam kelas. Hal ini bagi memastikan pelajar dapat memahami kekuasaan Tuhan dan pengaruhnya dalam kehidupan. Setiap agama di dunia mengajar umatnya kebaikan dan membentuk nilai serta keperibadian terpuji. Oleh itu, seseorang guru tidak perlu berasa tertekan dalam mengetengahkan elemen ketuhanan dalam subjek yang diajar. Sebagai contoh, guru boleh meminta pelajar mengutarakan pendapat berdasarkan fahaman agama masing-masing berkaitan topik pembelajaran. Pembelajaran tentang isu sains misalnya pengklonan, guru boleh meminta pelajar membuat pembacaan dan kajian tentang pendapat agama mereka berkaitan isu pengklonan yang hebat dibincangkan pada masa kini. Dengan cara ini, pelajar akan lebih memahami dan mendalami ajaran agama masing-masing seterusnya menguatkankan kepercayaan mereka kepada Tuhan.
Selain itu, modal insan kelas pertama digambarkan sebagai insan yang mempunyai pengetahuan yang tinggi dan berakhlak. Pengetahuan yang sempurna adalah pengetahuan yang digunakan dengan akhlak yang tinggi. Pembangunan insan menggariskan pendidik melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai ilmu yang disepadukan dengan akhlak yang mulia. Dalam abad ke-21 pelbagai perkara terjadi akibat daripada penggunaan ilmu tanpa akhlak yang mengakibatkan kerosakan terhadap individu, masyarakat, agama dan negara. Dalam proses pembelajaran abad ke-21, guru perlu sentiasa memberi ruang kepada pelajar unuk mengetengahkan pandangan dan pendapat mereka terhadap sesuatu perkara kerana sumber ilmu adalah di hujung jari. Guru perlu membimbing pelajar dengan membetulkan perkara yang salah dan menekankan aspek akhlak yang mulia supaya pelajar tidak terus menghadam ilmu yang mereka perolehi di alam maya. Sebagai contoh, dalam subjek Bahasa Melayu, guru boleh membuat satu forum atau perdebatan tentang isu integriti yang menjadi satu isu besar melanda negara pasa masa kini. Dengan memahami maksud integriti itu sendiri akan memberi kesan yang besar terhadap perkembangan ilmu sekaligus para pelajar dapat membina akhlak yang mulia berdasarkan pemahaman mereka tentang isu tersebut. Menitik beratkan pelbagai aspek, akhlak yang mulia digabungkan dengan ilmu yang tinggi akan melahirkan generasi peneraju negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Pembangunan insan melalui institusi pendidikan juga adalah bertujuan untuk melahirkan insan yang memahami dan bersikap toleransi, demi mewujudkan perpaduan. Perpaduan yang mantap akan membentuk sebuah negara yang makmur dan harmoni. Malaysia merupakan negara yang menpunyai masyarakan berbilang bangsa dan agama. Kesepaduan antara masyarakat majmuk adalah tunjang kepada kemakmuran dan pembangunan negara. Di dalam bilik darjah, semua pelajar datang daripada latar belakang yang berbeza dari pelbagai aspek termasuk bangsa, agama, budaya dan status sosial. Oleh itu, guru boleh mengambil peluang membentuk insan yang bersatu padu dengan mengadakan perbincangan di dalam kumpulan dalam proses pembelajaran. Gabungan pelajar daripada latar belakang yang berbeza akan membentuk satu gerakan yang bersatu padu dan saling memahami antara satu sama lain. Para pelajar akan membentuk sikap toleransi tanpa mengira latar belakang mereka dalam menghasilkan satu perkara yang menarik untuk pembelajaran mereka. Selain dapat mengembangkan ilmu pegetahuan pelajar, perpaduan dapat dibentuk dengan mudah dan berkesan. Melentur buluh biar dari rebung. perpaduan yang terbentuk di dalam kelas akan memberi kesan kepada kesepaduan rakyat dalam negara pada masa hadapan yang kian mencabar.
Akhir sekali, menghasilkan insan yang progresif, mahir serta cekap supaya membolehkannya berupaya melaksanakan tugas secara produktif serta sempurna, demi memberikan sumbangan terhadap negara adalah salah satu aspek yang perlu ditekankan dalam pembangunan insan di sekolah. Guru perlu bijak dalam melatih pelajar agar menjadi lebih aktif dalam melontarkan pendapat dan pandangan dalam sesuatu isu seterusnya melatih mereka menjadi seorang yang bukan sahaja boleh berkata-kata tetapi boleh melaksanakan. Modal insan yang cemerlang adalah insan yang mampu menjana idea dan melaksanakan idea tersebut dengan berkesan seterusnya memberi sumbangan kepada pembangunan diri, masyarakat, agama dan negara. Sebagai contoh, guru di dalam kelas perlu sentiasa mewujudkan satu sesi pembelajaran yang aktif berpusatkan pelajar. Pelajar pada masa kini merupakan pelajar yang maju dan moden. Mereka boleh mendapat pelbagai ilmu daripada pelbagai sumber di laman internet, buku dan majalah. Oleh itu, guru sebagai pembimbing perlu sentiasa memastikan pelajar aktif dalam berkongsi ilmu yang mereka perolehi di dalam kelas. Apabila pelajar berkongsi ilmu yang mereka dapat, guru boleh menapis ilmu tersebut dan menerangkan kepada pelajar di dalam kelas secara menyeluruh dan berkesan sesuai dengan tahap pendidikan mereka. Melalui kaedah perkongsian maklumat di dalam bilik darjah, pengetahuan pelajar akan bercambah di samping melatih mereka cara berkomunikasi dan memberi pandangan terhadap sesuatu isu sekaligus membentuk insan yang progresif, mahir serta cekap supaya membolehkan mereka berupaya melaksanakan tugas secara produktif serta sempurna, demi memberikan sumbangan terhadap negara pada masa hadapan.

Penulisan ini adalah berdasarkan pandangan dan sedikit info yang saya perolehi daripada pembacaan. Semoga dapat memberi pengajaran kepada semua yang membaca. Sekian.

No comments:

Post a Comment

MELAHIRKAN MODAL INSAN MELALUI PENDIDIKAN

Pendidikan adalah satu jalan terbaik dalam membentuk modal insan yang cemerlang, mempunyai jati diri yang terbilang, berpesonaliti, berkep...